Tags: Teh

Terapi Teh Hitam

Published on: Tuesday, 28 June 2011
Comments: No Comments

 

 

 

 

image

Merendam kaki dalam air teh hitam dapat meredakan tekanan dan keletihan yang dialami.

Khasiat serlah kecantikan dari hujung rambut hingga ke kaki

KEADAAN cuaca panas terik, bayangkan anda dapat menikmati segelas teh o ais limau. Selepas menyedut air itu apakah perubahan yang anda kecapi? Pastinya, berasa nyaman dan minda berasa rehat seketika.

Begitulah penangan teh yang mampu memberikan kesegaran dan merubah ragam diri seseorang, tidak kira sama ada ia dinikmati dalam keadaan sejuk atau pun panas.Kandungan zat alami yang ada dalam teh memberikan manfaat untuk tubuh dan bukan rahsia lagi jika teh mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan.

Khasiat teh sebahagiannya berasal daripada kandungan anti oksida yang dikenali sebagai flavonoids. Antioksidan itu dapat membantu tubuh mengatasi radikal bebas yang menyebabkan kerosakan pada sel-sel tubuh, sekali gus memastikan kesihatan anda terus dilindungi.

Hakikatnya, khasiat teh tidak terbatas untuk kesihatan saja, sebaliknya turut memberi manfaat untuk rawatan dan penjagaan kecantikan. Bahkan, sejak dulu lagi sudah wujud banyak produk pemuliharaan dan perlindungan kulit yang menggunakan rumusan teh iaitu daripada krim serta pembersih wajah hinggalah deodoran.

Justeru, alangkah nikmatnya jika anda dapat meluangkan masa dan memanjakan diri bagi rawatan dan penjagaan kecantikan dengan menggunakan segala kebaikan yang ada pada teh.

Apa kata, kali ini anda cuba mengguna dan memanfaatkan teh hitam untuk rawatan kecantikan serta meningkatkan penampilan diri kerana teh hijau sudah pun banyak diperkatakan sebelum ini.

Mengenali lebih dekat mengenai teh hitam dalam rawatan dan penjagaan kecantikan, Boh Plantations Sdn Bhd mengundang khas ahli terapi untuk menjelaskan lebih lanjut mengenai hal ini, di samping membuat demonstrasi rawatan terapi yang mengguna serta merumuskan produk teh Boh. Semua itu didedahkan pada lawatan media, Berkongsi Ummph di Sungai Palas Garden, Cameron Highlands, baru-baru ini.

Perunding, Cah’ya The Remedial Touch Aromatherapy Centre, Rachel Azrynie, berkata minum teh hitam sama ada pagi atau petang bukan saja memberikan kesegaran dan disukai ramai tetapi membawa beberapa kebaikan, khususnya dalam penjagaan kecantikan seperti mana teh hijau.

Rachel berkata, penggunaan teh hitam untuk rawatan dan penjagaan kecantikan sesuai digunakan untuk semua wanita. Malah, penggunaannya bukan saja untuk merawat dan menjaga tubuh atau kulit wajah saja tetapi kompleks iaitu dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

Antara keberkesanan utama teh hitam ialah merehatkan minda dan fizikal, meredakan tekanan serta mengembalikan kesegaran pada kulit.

Katanya, teh hitam kaya dengan antioksidan dikenali flavonoids yang membantu menangani masalah berpunca daripada radikal bebas seperti masalah sakit jantung, barah dan penuaan.

“Khasiat itu sudah pun terbukti sahih dan sudah banyak dicatatkan dalam beberapa jurnal sains penyelidikan yang dilakukan pakar serata dunia. Selain mengambil teh hitam sebagai minuman ia juga boleh digunakan sebagai penyental atau pupur untuk menyegarkan kulit. Teh hitam yang sudah dihancurkan dan dibancuh dengan beberapa bahan lain seperti krim pelembap boleh dijadikan pupur serta disapukan rata dan di urut pada kulit wajah mahupun seluruh tubuh. Amalan itu boleh membantu anda memiliki kulit yang mulus dan halus.

“Antioksidan bersama vitamin E yang ada dalam teh akan membantu menanggalkan sel kulit mati manakala dengan kaedah urutan yang lembut dan betul, khasiatnya akan terus meresap ke dalam kulit dan melancarkan perjalanan darah serta membuatkan kulit berseri dan sihat,” katanya ketika menerangkan kebaikan penggunaan teh hitam dalam rawatan dan penjagaan kulit,” katanya.

Rachel berkata, jika ingin mengecapi kenikmatan manfaat teh hitam mengembalikan kesegaran tubuh, rasakan pengalaman mandi teh dalam tab mandian.

Pertama sekali, sapukan tubuh anda dengan krim susu dan sebaik saja ia meresap ke dalam kulit, bolehlah berendam dalam tab mandian yang berisi air teh hitam selama 20 minit. Detik itu akan membuatkan perasaan anda dibuai rasa nyaman dan rehat yang cukup menyenangkan manakala minda berserabut perlahan-lahan kembali segar.

Begitu juga untuk wajah, jika ada jerawat timbul cara mudah untuk atasi ialah merendamkan uncang teh hitam dalam air panas selama beberapa minit. Tanggalkan uncang berkenaan dan ketika masih panas letakkan teh itu terus pada bahagian kulit wajah yang tampak cela, antara lima hingga 10 minit. Jangan bilas teh yang diletakkan pada tanda cela itu kerana ia akan berterusan ‘memerangi’ masalah itu sepanjang hari.

“Teh hitam juga amat ajaib sebagai astringen atau bahan yang boleh mengecutkan tisu dan saluran darah bagi pengawalan pengaliran darah. Apa yang perlu anda lakukan ialah bancuh air teh dan percikkan pada wajah sama ada dalam keadaan air teh itu sejuk atau suam. Mudah sekali untuk melakukannya dan paling penting, wajah anda turut berasa segar,” ujar Rachel lagi.

Cara lain yang boleh dibuat bagi menyegarkan wajah dan tampak muda ialah mencampurkan daun teh yang sudah diramas ke dalam krim wajah. Kemudian, urut perlahan-lahan wajah mengikut teknik putaran yang betul.

Rachel menambah, kelebihan lain teh hitam dalam meningkatkan kecantikan dan penampilan ialah membantu anda rambut yang cantik, tampak hitam dan berkilauan meskipun kesannya tidak lama ia mampu meningkatkan daya penampilan.

“Syampu rambut seperti biasa, kemudian bilas dengan air biasa. Seterusnya, bilas dengan air teh hitam yang sudah direndam. Biarkan sekurang-kurangnya lima minit dan perah air daripada rambut. Keringkan rambut secara semula jadi dan anda boleh perbezaannya,” katanya.

Bagi yang mempunyai bahagian bawah mata yang gelap dan sembab atau berasa pancaindera itu amat letih, boleh juga memanfaatkan teh hitam. Caranya, begitu mudah iaitu dengan meletakkan uncang beg teh hitam pada bahagian berkenaan dan jangan terkejut, masalah itu dapat diatasi dengan cepat. Kaedah itu bukan saja membuatkan mata segar tetapi turut membantu melambatkan timbulnya garis-garis halus pada bahagian bawah mata.

Selain itu, teh hitam boleh ‘menyelamatkan’ keadaan kaki anda yang berasa letih atau tertekan terutama apabila berjalan jauh. Isikan air suam dalam bekas dan campurkan air teh hitam. Rendamkan kaki anda antara 10 hingga 20 minit dalam air teh itu. Oleh kerana teh juga mempunyai anti fungus, rendaman itu turut membantu anda memiliki kaki yang cantik dan sihat.

Terlalu banyak kelebihan yang ada pada teh hitam dan cara yang diamalkan juga amat mudah, murah serta boleh dilakukan semua orang. Sesekali menggunakan sumber alami untuk merawat dan menjaga kecantikan memang baik kerana lebih selamat dan yang penting ia turut memberikan hasil memuaskan.

INFO: Antara kelebihan lain teh hitam untuk kecantikan

Melembapkan bibir
Gunakan uncang teh untuk membersihkan bibir selama lima minit dan bibir tidak perlu dibilas.

Mengatasi bau mulut
Teh juga digunakan untuk mengatasi bau mulut. Caranya ialah menjadikan teh sebagai ubat berkumur.

Menyejukkan kulit
Mendinginkan kulit yang terbakar sinar matahari. Caranya ialah dengan merendamkan beberapa uncang teh dan biarkan sejuk setelah itu tampal uncang teh pada bahagian terbakar sinar matahari.

Mengatasi luka bakar ringan
Caranya sama untuk mengubati kulit terbakar sinar matahari iaitu dengan merendam satu uncang teh dan biarkan sejuk dan tampalkan pada bahagian yang terkena.

Mengatasi uban
Caranya rendam tiga uncang teh dalam satu cawan air mendidih. Tambahkan satu senduk makan rosemary yang dikeringkan. Biarkan semalaman dan tapis. Untuk menggunakannya ialah seperti menyapu syampu rambut seperti biasa, lalu tuangkan campuran teh pada rambut. Pastikan semua rambut dibasahi teh. Selepas semua dibasahi oleh teh, jangan dibilas dengan air tetapi keringkan dengan tuala. Lakukan beberapa kali untuk mendapatkan hasil yang diinginkan.

Meredakan gusi berdarah
Jika gusi anak berdarah kerana gigi sulungnya patah, hentikan pendarahan dan redakan sakit dengan cara, basahi uncang teh dengan air sejuk. Tekankan langsung pada bahagian yang terkena.

- Berita Harian

Teh darah daging Russell

Published on: Tuesday, 5 January 2010
Categories: Experiences
Comments: No Comments

Teh darah daging Russell

Oleh JULIA ISMAIL
julia.ismail@kosmo.com.my

Meneruskan legasi datuknya, John Archibald (J.A) Russell membuka ladang dan perniagaan teh, Caroline Russell mempunyai impian supaya Boh terus menjadi minuman kebanggaan rakyat Malaysia.



SEJAK kecil teh bukan asing dalam hidupnya. Walaupun baru berumur setahun jagung, Caroline Russell sudah pandai membezakan rasa teh di hujung lidahnya.

Sehingga kini apa sahaja aktiviti yang ingin dilakukan akan dimulakan dengan secawan teh yang diminum bersama susu segar tanpa gula.

Wanita yang berumur dalam lingkungan 40-an itu merupakan waris ketiga keluarga pemilik ladang teh sejak dimulakan oleh datuknya John Archibald (J.A) Russell pada tahun 1927.

Semasa kecil Russell dan keluarganya tinggal di Kuala Lumpur. Bapanya, Tristan Russell akan membawa Caroline dan abangnya ke ladang teh di Cameron Highlands sekerap mungkin. Di Cameron, mereka menginap di sebuah banglo yang dibina sekitar tahun 1930-an.


SETIAP teh mempunyai rasa dan aroma yang berbeza.


“Saya gemar bermain di ladang teh. Ketika itu saya mempunyai seekor kuda dan saya akan menunggangnya mengelilingi ladang setiap petang,” ujar Russell mengimbas memori zaman kecilnya.

Menyingkap sejarah kewujudan ladang teh di Malaysia, ia bermula apabila J.A Russell yang ketika itu berusia tujuh tahun tiba di Malaysia pada tahun 1890 bersama bapanya.

Mendapat pendidikan di England, sekembalinya J.A Russell ke Malaysia dia bekerja dengan Straits Trading Company. Lebih istimewa, dia fasih berbicara dalam lima dialek bahasa termasuk bahasa Cina dan bahasa Melayu.

Setelah terlibat dalam perusahaan getah, perlombongan dan pembukaan kawasan-kawasan baru, J.A melihat potensi teh sebagai hasil tanaman yang mampu menjana ekonomi Tanah Melayu yang ketika itu dijana oleh getah dan bijih timah.


RUSSELL bercita-cita mahu menjadikan jenama teh Boh minuman nombor satu di Malaysia.


Berbekalkan sebuah jentera penggelek, beberapa pekerja dan beberapa pedati J.A dan penanam teh veteran dari Ceylon, A.B. Milne mengubah hutan di Cameron Highlands menjadi ladang teh pertama Malaysia.

J.A meninggal dunia pada tahun 1933 ketika umurnya 50 tahun. Perniagaan beliau diambil alih oleh anak lelakinya Tristan Russell. Hari ini ia diwarisi oleh Caroline Russell. Russell menyertai Boh ketika syarikat itu telah pun stabil.

Kerja keras

“Saya tidak menjawat jawatan tinggi ketika menyertai syarikat ini, sebaliknya saya bekerja di bahagian pemasaran selepas tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dari University of Edinburgh, Scotland,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pada tahun 1998, Russell dilantik sebagai pengurus besar syarikat sebelum menjawat jawatan sebagai ketua pengawai eksekutif lima tahun kemudian. “Walaupun mewarisi perniagaan datuk, namun sama seperti pekerja lain saya bekerja keras untuk sampai ke tahap ini,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Boh Plantations Sdn. Bhd. itu tanpa berselindung.

Sepanjang lebih dua dekad menerajui syarikat tersebut, Russell telah membuka sebuah ladang teh di Sungai Palas, Cameron Highlands. Sebelum ini Boh Plantations memiliki ladang di Habu dan Fairlie, Cameron Highlands.


SALAH satu pemandangan menarik di Pusat Teh Boh Boh, ladang teh Sungai Palas, Cameron Highlands.


Seiring dengan perubahan zaman, Russell mengakui penggunaan alat bantuan memetik daun teh sehinggalah mengilanngnya juga berubah.

“Dahulu daun teh dipetik dengan tangan. Hari ini mereka menggunakan alat khas bagi membantu mempercepatkan proses itu. Bagaimanapun kualiti setiap daun yang dipetik perlu dijaga dengan teliti,” kata wanita yang dilahirkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) itu.

Sebagai peneraju jenama teh nombor satu negara, tanggungjawab yang dipikul oleh Russell bukan calang-calang. Beliau perlu memastikan produknya sentiasa digemari pengguna selain memenuhi kehendak pengguna baik dari segi kualiti mahupun harga.

“Ketika saya menyertai syarikat ini ia sedang menyambut ulang tahun yang ke-60. Tahun ini Boh menyambut ulang tahun ke-80. Genap dua dekad saya menyertai syarikat ini,” kata ibu kepada dua anak yang berumur antara empat hingga enam tahun itu.

Karakter teh

Sebagai seorang ibu dan isteri Russell memberitahu, dia perlu bijak membahagikan masa antara kerja dan keluarga.

“Dengan jadual kerja yang padat, saya akan pastikan sentiasa berada di sisi anak-anak pada acara penting sekolah mereka,” jelasnya.

Meskipun berbangsa Inggeris, namun Russell mengakui Malaysia terlalu dekat di hatinya. “Saya adalah warganegara Malaysia. Begitu juga dengan dua anak saya,” ujarnya yang dibesarkan di Kuala Lumpur sehingga umurnya 12 tahun.

Russell kemudian dihantar ke sekolah berasrama di United Kingdom dan kembali ke Malaysia selepas menamatkan pengajiannya.

Dibesarkan dalam keluarga yang menerajui perniagaan teh, Russell mempunyai pengetahuan yang tinggi mengenai teh. Namun Russell amat meminati bidang antropologi dan arkeologi serta pernah bercita-cita mempunyai karier dalam bidang tersebut.

“Saya minat Sejarah tapi apabila melanjutkan pelajaran di peringkat universiti saya tidak mengambil bidang itu sebaliknya melanjutkan pelajaran dalam bidang perniagaan.

“Mungkin ia sudah menjadi darah daging saya. Selepas tamat pengajian saya terus menyertai syarikat dan meneruskan legasi yang ditinggalkan keluarga,” katanya.

Apakah pandangan beliau tentang Cameron Highlands dulu dan kini? “Cameron Highlands dahulu dan sekarang memang banyak perbezaannya. Dulu, Cameron Highlands adalah tempat bagi orang Inggeris melarikan diri daripada kesibukan kota bagi menikmati suasana segar dan sejuk. Kini, ia sudah semakin membangun dan terdapat laluan alternatif untuk sampai ke sana,” katanya.

Russell juga bersetuju dengan pendapat sesetengah pihak bahawa cuaca di Cameron Highlands tidak sesejuk seperti zaman kecilnya.

Mewarisi perniagaan teh, hidup Russell seakan tidak lengkap tanpa minuman tersebut. Bahkan, lidahnya sudah sebati dengan teh sehingga beliau boleh menentukan sama ada minuman yang diminum itu jenama Boh atau sebaliknya.


DARI kanan: Tristan Russell, Bekas Exco Negeri Pahang, Maznah Mazlan dan Caroline Russell bertemu pada majlis perasmian Pusat Teh Boh di Cameron Highlands tiga tahun lalu.


“Anak-anak saya juga begitu. Setiap teh mempunyai karakter yang berbeza dan unik walaupun ia datang dari ladang yang sama. Kita boleh tahu melalui rasanya.

“Sebab itulah Boh mempunyai pelbagai produk mengikut selera masyarakat tempatan. Ada yang lebih keras rasanya seperti jenama asli Boh dan juga yang lebih ringan seperti Cameronian,” katanya.

Cara mengilang, faktor cuaca, tanah dan juga cara pembuatan minuman juga boleh menjejaskan karakter teh tersebut.

“Jika saya menikmati teh di hotel saya tidak dapat membezakan sama ada ia teh Boh atau tidak kerana cara penyediaan di hotel telah merosakkan karakter teh tersebut. Di hotel kebiasaanya mereka menggunakan air yang dipanaskan semula.

“Mereka juga sering meletakkan jag di atas pemanas dan ia dipanaskan berulang kali. Teh sebaiknya dihidangkan dengan air yang baru dimasak,” jelas Russell bahawa Boh juga komited dalam usaha melindungi spesies haiwan terancan seperti Orang Utan.

Pertemuan Russell dengan sekumpulan penyelidik di Kinabatangan membuatkan dia berminat dalam melakukan kerjasama dalam meningkatkan kesedaran ramai mengenai haiwan-haiwan terancam ini.

“Ramai orang mengenali Orang Utan tetapi sejauh mana mereka tahu bahawa habitat haiwan ini semakin terancam dan kita harus membantu memberi haiwan-haiwan ini keselesaan. Tidak ramai juga menyedari usaha-usaha yang dilakukan penyelidik dalam mengkaji spesies ini.

“Banyak program menarik kami sediakan terutamanya kepada pelajar-pelajar sekolah. Sambutannya sangat luar biasa,” katanya.

Kredit to KOSMO Online

page 1 of 1
Inspiration's Tweet
- Twitter Goodies - Profile
Momento




Momento

Welcome , today is Monday, Monday, 22 October 2018