Rekod kesihatan peribadi elektronik

Published on: Thursday, 1 April 2010
Categories: Articles, Innovation, Kosmo
Comments: No Comments
Oleh ROSMALINA ABD. KADIR
rosmalina.kadir@kosmo.com.my

DIBINA dalam saiz kad kredit, rekod kesihatan anda disimpan dalam peranti USB.


PERASAAN runsing adalah lumrah bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan lebih-lebih lagi jika perlu melancong ke luar negara. Masakan tidak, rekod perubatan sedia ada perlu sentiasa dibawa sebagai persediaan sekiranya perlu menjalani rawatan ketika berada di negara asing.

Semuanya perlu lengkap kerana maklumat itu akan memudahkan sebarang tindakan atau keputusan dalam pemberian rawatan. Bukan sahaja memudahkan pengamal perubatan yang bertugas, maklumat itu juga penting demi keselamatan pesakit yang hendak menerima layanan medikal.

Secara praktikal, rekod sejarah perubatan individu yang selama ini disimpan pihak hospital, sepatutnya disimpan juga oleh setiap orang. Maka, cara yang paling mudah adalah dengan menggunakan kad elektronik yang mengandungi semua maklumat lengkap berkaitan latar kesihatan diri.

Menyedari hakikat tersebut, Malaysia Healthcare (MHC) yang merupakan penyedia pelancongan kesihatan di Malaysia mengambil inisiatif memperkenalkan kad Rekod Kesihatan Elektronik Peribadi (iPHER) bagi memudahkan urusan rekod kesihatan pesakit dengan pihak hospital.

Saiznya sama seperti kad kredit biasa tetapi dilengkapi kemudahan peranti USB. Dalam keadaan yang memerlukan individu itu perlu menjalani pemeriksaan kesihatan atau rawatan kecemasan, kad yang menyimpan data klinikal tersebut adalah tanda pengenalan awal.

Ketua Pegawai Eksekutif MHC, Suresh Ponnudurai berkata, melalui iPHER, semua rekod perubatan peribadi boleh diperoleh segera apabila mereka menjalani rawatan di hospital di dalam atau di luar negara.


SEBARANG rawatan kecemasan memerlukan maklumat kesihatan dan latar belakang pesakit disemak terlebih dahulu. – Gambar hiasan.


“iPHER bukan seperti kad biasa kerana ia mempunyai ciri-ciri keselamatan yang ketat seperti kata laluan yang hanya boleh diakses pemiliknya dan mempunyai kapasiti memori sebanyak lapan gigabit.

“Pemiliknya boleh menyimpan rekod kesihatannya setiap kali berkunjung ke hospital terus daripada komputer kerana ia mempunyai sambungan USB dan boleh di akses di setiap komputer,” katanya.

Justeru katanya, dengan iPHER, pesakit tidak perlu lagi membawa segala rekod perubatan ketika menjalani rawatan di luar negara. Mereka juga bebas berkunjung ke destinasi idaman biarpun dalam keadaan kesihatan kurang baik yang memerlukan rujukan di klinik atau hospital.

Simpanan maklumat

“iPHER mampu merekodkan pelbagai data antaranya rekod imbasan sinar-X, preskripsi perubatan, ujian makmal, imunisasi, imej digital, rekod pergigian, penjagaan mata dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

“Apabila seseorang pesakit mempunyai rekod kesihatan elektronik, proses pemeriksaan kesihatan di mana-mana hospital menjadi lebih cepat dan efisien,” jelas Suresh.

Tambahnya, rekod kesihatan digital berkenaan telah digunakan di Amerika Syarikat sejak tiga tahun lalu selain di Dubai, Emiriah Arab Bersatu. Ia juga bakal dilancarkan di Brazil tidak lama lagi.

Sebagai kemudahan pemahaman, maklumat dalam kad itu diterjemah ke dalam pelbagai versi bahasa seperti Inggeris, Sepanyol, Portugal, Arab, China, Jerman dan Perancis.

REKOD kesihatan elektronik juga membantu pesakit kecil kerana mereka tidak dapat menerangkan penyakit mereka secara tepat.



Katanya lagi, tidak seperti model lain dalam pasaran, tiada perisian khas diperlukan untuk melihat rekod yang disimpan dan ia boleh digunakan untuk semua sistem operasi Microsoft dan sambungan USB.

“iPHER adalah penyelesaian lengkap yang membolehkan pelancong perubatan membawa rekod perubatannya sendiri dalam format digital untuk mendapatkan rawatan di mana sahaja di seluruh dunia.

“Kemudian, dengan data baru yang diperoleh dari tempat rawatan berkenaan, mereka boleh menyambung rawatan dengan doktor masing-masing selepas pulang ke negara asal,” jelasnya.

Tambah beliau, selain faedah tersebut, elemen asas bagi produk iPHER adalah sebagai satu langkah ke arah masa depan yang membentuk sistem penyimpanan, pengurusan dan penyampaian maklumat kesihatan peribadi yang tepat dan boleh digunakan di seluruh dunia.

“Sebagai trend global iaitu sentiasa bergerak ke hadapan ke arah pendigitan maklumat perubatan, hasrat kami adalah untuk membawa penjagaan kesihatan di Malaysia ke satu tahap lebih tinggi.

“Pengenalan iPHER amat bertepatan bagi memenuhi hasrat ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden Patient Practitioners, LLC – USA berkata, adalah penting untuk setiap individu mempunyai kawalan ke atas kesihatan mereka sendiri.

SESEORANG mungkin tidak lagi perlu membawa ubat-ubatan yang berlebihan ketika melancong ke negara asing.



“iPHER menawarkan kemudahan daripada bebanan rekod-rekod perubatan sedia ada tetapi dalam masa sama membenarkan mereka untuk menguruskan kesihatan mereka sendiri.

“iPHER dibangunkan di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2006 di Patient Practitioners dan telah menerima Anugerah Gabenor bagi Kepelbagaian Perniagaan untuk inovasi,” katanya.

Dalam pada itu, berdasarkan laporan ekonomi Malaysia tahun 2009/2010, pelancongan kesihatan dijangka menyumbang sebanyak RM330 juta bagi pendapatan dalam negara.

Ia ekoran peningkatan jumlah pesakit luar negara sebanyak 430,000 tahun lalu. Pelancong perubatan juga meningkat sepuluh kali ganda sejak 1998 iaitu sebanyak 374,063 sehingga tahun 2008.

Ia sekali gus menyumbang kepada peningkatan pendapatan dalam negara yang memberangsangkan iaitu RM14.1 juta kepada RM299.1 juta bagi tempoh yang sama.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan iPHER boleh mendaftar di www.malaysiahealthcare.com atau menghubungi 03-2719 5582 untuk maklumat lanjut.

Credit to KOSMO Online

No Comments - Leave a comment

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Inspiration's Tweet
- Twitter Goodies - Profile
Momento




Momento

Welcome , today is Tuesday, Tuesday, 23 September 2014