Dunia yoyo Shakeel

Published on: Thursday, 25 February 2010
Comments: 2 Comments

Oleh Fairuz Zaidan

Seolah-olah melekat di celah jari setiap kali anak muda ini menghayunkan yoyo ke atas, bawah dan belakang. Kenali Raja Yoyo Malaysia, Muhammad Shakeel Mohd Rose…

DERETAN piala dan yoyo pelbagai warna dan saiz yang tidak terhitung jumlahnya, cukup menggambarkan betapa hebatnya figura anak muda ini dalam dunia yoyo tempatan.

Pada usia baru 24 tahun, Muhammad Shakeel atau lebih mesra dengan panggilan Shakeel sudah menikmati pencapaian hebat dalam dunia yoyo hingga bergelar Raja Yoyo Malaysia bagi kategori free hand.

Berkat kesungguhan dan minat mendalam dalam permainan yoyo, siapa sangka bermula sebagai hobi, akhirnya Shakeel mengecapi kedudukan tertinggi dalam dunia yoyo di Malaysia.

“Saya sendiri tidak menyangka mampu mencapai tahap sekarang kerana dulu yoyo sekadar hobi malah ia hanyalah permainan semusim.

“Malah, saya pernah berhenti bermain yoyo tetapi aktif semula selepas melanjutkan pengajian peringkat Diploma dalam animasi di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pada 2004,” kata Shakeel yang mula mencipta nama setahun kemudian di peringkat kebangsaan.

Shakeel yang bekerja separuh masa sebagai pakar animasi 3D berkata, beliau bertuah bertemu dengan ramai pemain yoyo berbakat. Mereka banyak membantu anak muda ini meningkatkan kemahiran bermain yoyo. Jangan tidak tahu, dalam senarai rakan baiknya termasuklah juara yoyo peringkat dunia, Hiro Yuki dari Jepun!

Berkongsi rutin latihannya, anak kelahiran Kuala Lumpur ini berlatih secara serius selama tiga jam sehari setiap kali mahu menyertai siri kejuaraan peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

“Tahun ini adalah paling mencabar untuk saya kerana berdepan dengan tiga kejuaraan penting. Ini menjadi kayu pengukur kemampuan sebenar saya dalam acara yoyo,” cerita anak muda ini.

Bermula dengan pertandingan yoyo peringkat kebangsaan yang dijadual berlangsung bulan depan, Shakeel akan menyertai pertandingan yoyo peringkat Asia Pasifik pula selepas itu.

“Saya berharap dapat menyertai kejuaraan yoyo antarabangsa di Amerika Syarikat (AS) akhir tahun ini,” kata Shakeel yang giat berlatih bagi mempertahankan kejuaraan keempatnya dalam siri yoyo kebangsaan.

Menggemari rutin 5A iaitu suatu kategori dalam seni persembahan yoyo, Shakeel berharap mampu mencipta kejutan berganda tahun ini. Beliau berhasrat mempertahankan tiga gelaran serentak yang dicapainya tahun lalu iaitu kategori rutin Single A, 4A dan 5A.

Pemain sehebat Shakeel tidak lengkap andai tidak memiliki teknik bermain yoyo yang menjadi trademark tersendiri. Kata Shakeel, beliau mencipta teknik smash trapeze sejak dua tahun lalu dan terus menjadi identitinya.

“Bagi kejuaraan kebangsaan, saya berjaya mengekalkan kedudukan selama empat tahun berturut-turut. Manakala saya menduduki tempat ketiga peringkat Asia Pasifik sebanyak dua kali.

“Adalah menjadi harapan saya untuk menyertai kejuaraan peringkat dunia di AS akhir tahun ini. Saya mensasarkan berada di kelompok 10 pemain yoyo terbaik dunia… InsyaAllah,” kata Shakeel yang menyimpan koleksi lebih 100 yoyo.

Ikuti cerita si fanatik yoyo ini…

Melihat kepada gaya dan kemahiran anda yang menakjubkan dalam permainan yoyo, boleh terangkan bagaimana segala-galanya bermula?

Seperti ramai remaja seusia, banyak permainan mengikut musim menjadi kegemaran termasuk demam yoyo ketika usia saya 14 tahun.

Saya ingat lagi pada ketika itu, saya membelanjakan kira-kira RM20 untuk mendapatkan yoyo. Adat bermain, saya tidaklah mahir pada mulanya hingga ada yoyo saya pecah.

Berapa lama masa yang anda ambil untuk bergelar pro?

Bukan mudah untuk sampai ke tahap sekarang. Ketika awal-awal dulu, saya tidaklah serius. Ini kerana seperti ramai remaja lain, saya tidaklah konsisten kerana banyak mencuba sukan baru termasuk skate board.

Namun, minat kepada yoyo kembali berputik selepas memasuki Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pada 2004… Bermulalah fasa baru di mana saya serius dalam permainan ini.

Bagaimana anda mengembangkan bakat dan mampu mencipta nama dalam tempoh singkat?

Tidak dinafikan pendedahan termasuk pertandingan yang saya sertai membantu membina nama dalam permainan ini.

Saya mula memasuki pertandingan pada 2005 dan sejak itu, tidak menoleh ke belakang lagi hingga berjaya di peringkat tertinggi kebangsaan serta mewakili Malaysia ke pertandingan yoyo Asia Pasifik.

Menyentuh soal minat orang ramai, bagaimana agaknya komuniti dalam permainan yoyo ini?

Di Malaysia, peminat yoyo boleh menyertai Kelab YoYo Malaysia (KYM) untuk berkongsi minat dan menyertai pertandingan. Ini boleh menjadi pendedahan terbaik untuk kita menonjolkan diri. Ketika ini, jumlah ahli dalam kelab ini melebihi 100 orang.

Saya percaya, kelab ini boleh berkembang sedikit masa lagi.

Siapa yang mengajar anda melakukan pelbagai pergerakan rumit dalam permainan ini?

Saya tidak mempunyai guru melainkan berlatih sendiri. Pada masa sama, saya turut menonton video yang memaparkan teknik serta menyesuaikannya dengan gaya tersendiri.

Malah, saya turut mencipta trademark iaitu smash trapeze yang digayakan dalam mana-mana pertunjukan dan pertandingan.

Bertahun-tahun terbabit dalam bidang ini dan saban hari mengulangi rutin sama, tidakkah anda pernah rasa jemu atau bosan bermain yoyo?

Tiada istilah bosan kerana kita seharusnya percaya apa yang kita lakukan dan berminat melakukannya setiap hari. Selain terbabit dalam pertandingan, saya juga mengadakan pertunjukan jelajah di seluruh negara serta diundang menjadi juri pertandingan. Bukankah itu menarik?

Boleh berkongsi pencapaian anda dalam pertandingan yoyo?

Saya sudah empat tahun mengekalkan pencapaian cemerlang di peringkat kebangsaan. Malah, tahun lalu menjadi detik paling bermakna apabila berjaya mengungguli tiga daripada empat rutin pada pertandingan yoyo iaitu kategori Single A, 4A dan 5A.

Bagaimana pula dengan kejuaraan antarabangsa?

Ketika ini, saya sudah menyertai kejuaraan di peringkat Asia Pasifik dengan bersaing bersama perserta dari 12 negara termasuk juara dunia dari Jepun. Saya berbangga kerana mendapat tempat ketiga. Ini mendorong saya merancang menyertai kejuaraan dunia di Amerika Syarikat (AS) akhir tahun ini.

Sampai bila agaknya anda meletakkan sasaran untuk terus bermain yoyo?

Saya tidak pernah meletakkan sasaran kerana mahu meraikan detik ini semahunya. Adalah menjadi harapan saya untuk diingati generasi akan datang dan meninggalkan kenangan manis dalam dunia yoyo.

Saya juga mahu menjadi tenaga pengajar dan mengeluarkan jenama yoyo sendiri pada suatu hari nanti.

Cerita yoyo makan tuan…

BUKANLAH pemain yoyo profesional andai tidak pernah terbabit dalam kemalangan ketika sibuk beraksi meningkatkan kemahiran mengawal yoyo.

Inilah yang dialami Shakeel ketika berkongsi perumpamaan, ‘yoyo makan tuan’ di mana beliau sendiri menjadi mangsa yoyo ketika berlatih.

Sambil menunjukkan parut kecil di bawah dagu, Shakeel berkata, kulit di bawah dagunya terkoyak gara-gara terhayun yoyo secara tidak sengaja.

“Adatlah… Dalam kita leka dan asyik berlatih, kecederaan seperti ini tidak dapat dielak.

“Mujurlah kecederaan yang saya alami tidak teruk kecuali luka kecil. Bagaimanapun, setakat ini, saya tidak mengalami banyak kemalangan apabila berlatih yoyo,” kata Shakeel berkongsi pengalaman mencabar demi memburu gelaran pemain yoyo profesional.

Bercerita lanjut peristiwa yoyo makan tuan, Shakeel berkata, ada rakannya hilang gigi kerana terhantuk yoyo hingga menjadi sopak.

“Bagi saya, semua itu pengalaman berharga yang perlu dilalui jika hendak menjadi pemain yoyo profesional.

“Sejak saya aktif bermain yoyo, belum ada kes yoyo mencederakan penonton biarpun sesetengah aksi cukup mengerikan terutama melihat yoyo berayun laju,” kata Shakeel yang memiliki yoyo termahal bernilai RM1,000 daripada jenama Duncan Toys (DT) dalam simpannya.

Bercerita kisah yoyo mahal itu, ujar Shakeel, beliau memperolehnya sebagai hadiah kemenangan pertandingan peringkat kebangsaan.

“Saya juga sering ditaja Duncan Toys setiap kali mengadakan pertunjukan yoyo atau menyertai pertandingan yoyo,” katanya.

Kata Shakeel mengenai…

Lelaki zaman sekarang – Lelaki bermacam ragam dan sifatnya… Semua bergantung kepada sikap mereka sendiri.
Lelaki gemar bersukan – Tidak dinafikan, aktiviti sukan itu baik dan ramai lelaki suka bersukan seperti futsal dan bola sepak. Malangnya gaya hidup sihat itu tidak seimbang dengan tabiat merokok dan pemakanan tidak teratur.
Lelaki menangis – Tidak ada salahnya lelaki menangis terutama apabila berdepan dengan detik sedih kehilangan ahli keluarga dan orang tersayang. Namun, ada ketikanya, ego lelaki tidak dapat dibendung untuk mengelak daripada menangis.

PROFIL:

  • Nama : Muhammad Shakeel Mohd Rose
  • Umur : 24 tahun
  • Tarikh lahir : 24 April 1986
  • Tempat lahir : Kuala Lumpur
  • Tinggi : 168 sentimeter
  • Berat : 64 kilogram
  • Status : Bujang
  • Pekerjaan : Pemain yoyo professional, Pakar animasi 3D

INFO:

  • Mengikut sejarah, yoyo dikatakan sebagai alat permainan kedua tertua di dunia dan wujud kira-kira 250,000 tahun lalu.
  • Ada yang mendakwa yoyo dipercayai wujud sejak tahun 500 tahun Sebelum Masihi (SM). Maklumat menyatakan penduduk asli Amerika dikatakan mula bermain yoyo kira-kira 1,000 tahun SM.
  • Ketika itu, yoyo dimainkan menggunakan cakera kulit labi-labi.
  • Nama yoyo dikatakan berasal daripada bahasa Filipina, Ilokano.
  • Permainan yoyo moden bermula pada 1928 apabila warga Amerika Syarikat (AS) kelahiran Filipina, Pedro Flores membuka Yoyo Manufacturing Company di Santa Barbara, California, lalu mempopularkan permainan ini.

Kredit to Berita Harian Online


2 Comments - Leave a comment
  1. yaya ramdan says:

    ..smoge trus brjye mnempa nme sbgai pemain yoyo professional di peringkat antarabangsa..MALAYSIA BOLEH !!!!

  2. chuumi says:

    love u syakeel :P

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Inspiration's Tweet
- Twitter Goodies - Profile
Momento




Momento

Welcome , today is Friday, Friday, 19 September 2014